" Dulu masa kecik aku tak berapa suka sangat hari raya. Sebab kami miskin. Tak ada apa- apa pun di rumah. Biskut raya jauh sekali. Tak penah ada baju raya."


Hari ini sudah genap 13 hari kita semua berpuasa, mesti semua orang dah buat macam-macam persiapan nak menyambut Hari Raya yang bakal tiba lebih kurang 17 hari lagi kan? Namun, dalam kita gembira meraikan Hari Raya tu jangan pulak lupa dekat orang yang kurang bernasib baik.
Seperti kisah yang dikongsi lelaki ini, kehidupannya satu ketika dahulu sangat miskin. Hari Raya sama sahaja seperti hari biasa dan mereka menyambut raya bersederhana sahaja. Tiada baju raya, apatah lagi kuih muih. Sedih.

Tak pernah ada baju raya, biskut raya jauh sekali

Dulu masa kecik aku tak berapa suka sangat hari raya. Sebab kami miskin. Tak ada apa- apa pun di rumah. Biskut raya jauh sekali. Tak penah ada baju raya. Kalau nak makan biskut raya dan makanan sedap-sedap kena pergi rumah makcik dan pakcik. Tupun kena tunggu abah balik sebab kena naik motor abah. Tu pun abah yang bawak atau pergi dengan abang.

Rumah jauh dalam kebun getah. Tak ada siapa yang datang pun. Kalau ada yang datang pasti saudara mara yang memang purposely datang sebab nak bagi duit raya kat kami kerana mereka tahu kami miskin. Ada jugak yang datang beraya sebab mereka kawan-kawan abah. Sama-sama miskin macam kami jugak.

Biasa dulu hari raya mak dan abah akan bakar pulut. Dalamnya ada inti serunding ikan/ayam. Mak juga tak pernah lupa buat tapai pulut. So, adalah antara kami adik beradik yang kena ambik daun pokok getah untuk balut tapai kalau abah terlupa nak ambikkan. Paling grand mak buat nasi himpit atau nasi dagang. Nasi himpit kuah kacang. Satay tak ada. Itu sajalah.
Alhamdulillah…

 Syukur…

Tapi jauh di sudut hati, aku malu bila hari raya kawan-kawan datang rumah. Sebab tak ada ruang nak duduk, rumah sempit. Makanan pun tak banyak dan tak ada pun biskut raya macam orang lain. Agenda hari raya kami adik beradik. Pergi solat raya lepas tu balik tidur depan TV buruk siaran tak berapa jelas. Adik-adik perempuan masuk bilik tidur. Bila ada kawan-kawan abah datang kami semua masuk bilik dan tidur. Dalam hati bilalah mereka ni nak balik.


Mula berazam ubah nasib keluarga tapi…

Di situlah aku mula berazam untuk belajar rajin-rajin dan mengubah nasib keluarga. Bila mula bekerja aku mula baiki rumah abah agar sedikit selesa. Aku tambah bilik-bilik agar adik-adik dapat sedikit keselesaan, ada tempat nak sangkut baju, nak baring-baring dan sebagainya. Aku beli baju raya untuk Abah dan Mak serta adik-adik. Aku beli baju raya untuk aku sendiri. Aku beli biskut raya dan juadah untuk jamuan tetamu hari raya. Aku pastikan tukar duit di bank untuk di isi dalam sampul untuk di agihkan kepada tetamu.

Aku tak mahu lagi jadi penerima. Aku mahu jadi pemberi. Aku berusaha bersungguh-sungguh mengubah nasib hidup. Aku belajar dan belajar tak habis-habis. Hanya akulah yang boleh mengubah nasibku. Tetapi ramadhan tahun ini hatiku resah. Ada beribu fakir miskin yang ku jumpa yang tak ada baju raya. Biskut raya jauh sekali…

Dua hari lepas sewaktu majlis berbuka puasa syarikat aku, aku ajak Pakcik Hashim Pang dan anak-anaknya datang berbuka bersama. Aku lihat anak keciknya si Aisy yang umur 8 tahun pakai baju melayu besar. Lengan baju sejengkal labuh dilipat-lipat. Aku tanya dah ada baju raya? Aisy hanya senyum dan tunjukkan baju yang dia pakai tulah baju rayanya. Dia tak memintapun aku belikan baju untuknya biarpun dia tahu akulah yang bantu dia, kakak dan ayahnya selama ini.
Huhhh… aku resah! Jiwaku bergolak…

Mana mungkin aku gembira bila ramai lagi anak dhaif tak rasa gembira tu
Mana mungkin aku gembira di hari raya di saat beribu anak-anak yang dhaif tak dapat merasai kegembiraan itu. Masih ramai asnaf yang masih menunggu rumah-rumah bantuan yang dijanjikan tapi tak dapat-dapat. Masih ramai anak-anak yatim, tiada mak ayah tinggal dengan pakcik dan atuk yang juga dhaif. Masih ramai!!

Dan mereka di sekelilingku…

 Subhanallahhh…

Saya dengan ini melancarkan fasa ke-dua bantuan fakir miskin Thirdforce seluruh Malaysia. Bantuan kedua ini mensasarkan keperluan dapur dan juga menyambut aidilfitri.

Hantarkan kepada kami :-

Beras
Gula
Minyak Masak
Agar2
Biskut raya
Nasi himpit segera
Dan apa saja yang di rasakan sesuai untuk kami agihkan sebelum syawal. Sukarelawan kita insyaallah akan bekerja sehingga ke malam raya untuk menyantuni asnaf-asnaf ini membawa mesej Islam Itu Indah dan mesej persaudaraan serta kasih sayang mengajak semua jommm jadi orang baik-baik.
sumber: Raja Shamri

No comments

Powered by Blogger.