Tak Bahagia Mana Pun Hidup Kau Dengan Menyihir Isteri Aku!
Tidak dapat dinafikan dengan bermacam medium media sosial yang ada pada
zaman sekarang ini sedikit sebanyak telah banyak membantu pengguna media
sosial untuk berhubungan dengan sesiapa atau memperlihatkan kebahagiaan
keluarga kepada orang lain.
Akibat dari perkara itu, mungkin ada individu yang menyalah tafsirkan
sehingga rasa dengki dan benci menjadi dasar sebagai jalan untuk
menghancurkan keluarga kita hingga menjadi hancur.
Ingin saya kongsi pengalaman ini sebagai pengajaran dan pendoman
kepada para suami di luar sana yang sedang sibuk mencari ‘spare part’
hiburan di luar.
Saya adalah seorang suami dan bapa kepada empat orang anak. Hubungan
bersama isteri sudah hampir 15 tahun. Isteri saya bekerjaya dan kami
memang saling sayang menyayangi antara satu sama lain, sehinggalah suatu
pagi seorang kerani di tempat kerja saya telah bertanya khabar saya
yang tidak sihat.
Saya memang tidak pernah menyimpan mana-mana nombor telefon perempuan
lain kecuali seorang lagi kerani lain untuk memudahkan urusan kerja.
Isteri saya ini memang kuat 6th sense dia. Dia boleh hidu dan syak itu
bukan kawan-kawan perempuan yang dia kenal. Saya pun beritahu yang saya
tidak kenal (sebab memang saya tidak kenal). Isteri saya pun diam
sehinggalah bila saya kembali bekerja semula, si kerani ini bertanya
mengapa saya tidak membalas mesejnya. Saya kata saya tidak tahu sebab
nombor dia tiada dalam senarai contact telefon.
Hubungan saya dan isteri memang baik, mesra dan isteri saya memang
seorang yang periang. Tanggungjawab dia pada saya dan anak-anak memang
tidak dilupakan. Dan saya selalu beritahu pada kawan-kawan bahawa isteri
saya memang tiada galang gantinya.
Jika ditakdirkan saya beristeri lagi, itu cuma akan terjadi jika
isteri saya sudah meninggal dunia. Itu pun pada saya, mustahil ada
wanita yang dapat menggantikan tempatnya. Rupa-rupanya kenyataan saya
telah menimbulkan rasa tidak puas hati kerani berkenaan.
Pada suatu hari, si kerani itu mendapat kerja di Kuala Lumpur. Maka
dia pun berhijrah. Saya memang jenis peramah, suka bertanya khabar
kawan-kawan lelaki mahupun perempuan, tua mahupun muda. Saya pun saja
sms dan bertanya khabar. Demi Allah, tiada sekelumit pun rasa suka atau
cintakan kerani tersebut.
Sejak kerani itu selalu menghubungi saya, akhirnya tanpa saya sedari
si kerani itu memanggil saya dengan panggilan ‘sayang’. Saya pun terkedu
pada mulanya. Yelah, dah orang panggil kita ‘sayang’ kan? Maknanya
saham saya laku lagi.
Hubungan dengan isteri masih baik sehingga tiba hari raya, kerani itu
menghubungi saya dan bertanyakan bila saya mahu berkunjung ke rumahnya
untuk berhari raya. Saya tidak tahu, seperti ada sesuatu yang mendesak
saya untuk pergi. Saya pergi ditemani dengan anak-anak saya.
Lama kelamaan isteri dapat menghidu perbuatan saya. Isteri suruh saya
tukar nombor telefon. Saya ikut segala permintaan isteri sebab saya
sayangkan dia. Dan yang peliknya saya tak tahu kuasa dari mana saya beli
nombor lain dan handphone lain. Tetapi tak lama.
Betullah kata orang, naluri seorang isteri itu jangan dibuat
main-main. Saya tahu isteri saya selalu berdoa dan saya selalu mendengar
dalam doanya ada tangisan. Hati saya pilu mendengar esakan isteri saya
tetapi ada sesuatu yang berbisik supaya membiarkan saja isteri saya.
Solat hajat, bacaan yasin dan akhir sekali bila tiba awal muharam,
isteri dan anak-anak buat solat hajat. Dan tidak lama selepas itu,
rahsia terbongkar. Bila isteri dapat tahu, dia ajak saya pergi berjumpa
kerani itu. Saya ikut saja.
Dalam kereta, dia suruh saya lepaskan dia. Tetapi demi Allah saya
sayangkan isteri saya. Saya tidak akan melepaskannya kecuali ajal yang
memisahkan kami.
Isteri saya memang cerdik, segala doa dia Allah makbulkan. Kami dapat
berjumpa dengan kerani itu tetapi dia lari bila saya menghampiri isteri
saya. Seperti ada sesuatu yang disorokkannya. Kami pulang ke Penang
semula.
Sejak itu kepercayaan isteri pada saya memang tiada lagi. Walau
berkali-kali saya ucapkan saya tiada apa-apa hubungan dengan kerani itu.
Pada suatu hari ketika saya sedang solat dhuha, isteri tiba-tiba tak
sedarkan diri. Marah-marah tak tentu hala. Saya bawa dia berjumpa dengan
seorang ustaz berhampiran. Sekali lagi isteri saya diserang sambil
menjerit-jerit.
“Kenapa kau tinggalkan aku?! Kenapa kau sayang sangat kat bini ko tu?!”
Berulang-ulang ayat itu keluar dari mulutnya. Ustaz beritahu isteri
saya telah disihir. Dan seperti yang dijangka, saya juga telah
diguna-gunakan oleh kerani tersebut. Hampir 12 orang ustaz kami jumpa
tetapi sehingga kini keadaan isteri saya masih diganggu. bermacam-macam
sihir telah dihantar kepada kami sehingga kini.
Saya memang menyesal, menyesal yang teramat sangat. Kami berdoa agar
kami diberikan kekuatan untuk menghadapi ujian ini. Isteri saya seorang
yang redha dan pasrah walaupun tubuh seperti disiat dan diikat-ikat
tetapi tanggungjawab tetap dilaksanakan.
Dan saya tak sangka, isteri masih boleh mewakafkan al-quran atas nama
kerani tersebut semasa kami bercuti di Langkawi baru-baru ini. Terkedu
saya. Saya tanya kenapa dia berbuat demikian.
“Perempuan itu sudah jauh terpesong. Kitalah yang kena betulkan aqidahnya,” katanya.
Dia tak balas setiap perbuatan kerani itu sehingga saya pula yang
kurang sabar. Bila saya kata saya nak pulangkan semua sihir-sihir ini,
isteri kata tak perlu berbuat demikian. Itu semua saham akhirat dia.
Biar pun sihir itu menyebabkannya sampai ajal walaupun sudah lama
menderita.
Subhanallah.
Nasihat saya kepada lelaki di luar sana, jadikanlah kisah saya
sebagai pengajaran. Jangan mudah terperdaya dengan wanita lain.
hati-hatilah bila berkawan, jangan ada yang ambil kesempatan di atas
keprihatinan kita.
Pada perempuan-perempuan di luar sana, janganlah terdesak merosakkan
rumah tangga orang lain sebab kifarah Allah itu pasti ada. Pada kerani
tersebut, sedarlah, tak bahagia mana pun kehidupan kamu dengan menzalimi
isteri aku.
Post a Comment