Ameng Sring Kini Bebas Dari Penjara, Isteri Luah Rasa Sebak!
Isteri kepada Ameng (Spring) berkata, hatinya sebak selepas bertemu
dengan suaminya itu pada Selasa yang kini tidak lagi bergelar seorang
banduan.
Sabariah Zakaria, 46, berkata, biarpun kerap kali datang menziarahi
suaminya itu, namun hari ini adalah saat yang cukup istimewa kerana
Ameng sudah bebas daripada menjadi tahanan dalam penjara.
"Hari ini saya datang awal ke penjara dan perasaan berdebar-debar untuk menanti dia dibebaskan. Perasaan sukar untuk digambarkan kerana ini saat yang paling saya tunggu.
"Saya rasa sebak kerana dulu saya datang hanya untuk melawat sahaja dan hari ini saya dapat bawa dia balik ke rumah bersama," ujarnya.
Ameng atau nama sebenarnya Wan Aminuddin Wan Ismail, 47, dibebaskan dari
penjara Kluang pada 12.30 tengah hari pada Selasa selepas lima tahun
ditahan di penjara itu.
Dia dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan dikenakan 10 kali sebatan
oleh Mahkamah Sesyen Melaka pada 12 April 2011 kerana kesalahan
penyalahgunaan dadah.
Bagaimanapun hukuman itu dipendekkan atas disiplin dan contoh terbaik yang ditunjukkannya.
Selain Sabariah, anak mereka iaitu Wan Ahmad Haizal (9 tahun) turut bersama.
Tambah Sabariah, dia berharap selepas pembebasan tersebut mereka sekeluarga dapat memulakan kehidupan baharu.
"Insya-Allah kami akan mulakan hidup baru dan mempunyai beberapa perancangan bersama keluarga yang tidak dapat dilakukan sebelum ini.
"Saya juga bersyukur Ramadan kali ini lebih bermakna buat saya dan anak kerana dapat meraikannya bersama-sama seperti keluarga lain," ujarnya.
Selain itu, Sabariah berkata, dia bakal menguruskan kerjaya Ameng
sebegai penyanyi dengan beberapa perancangan yang sudah diatur termasuk
konsert Tiga Suara tidak lama lagi.
Post a Comment